IPOH: Pemilik bangunan di Perak, termasuk pusat membeli belah, mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam penyelenggaraan lift dan eskalator bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, garis panduan keselamatan bagi penggunaan lift dan eskalator jelas menggariskan langkah-langkah yang perlu mereka ambil

Antara garis panduan itu ialah lift dan eskalator perlu diservis setiap bulan, diselenggara setiap tiga bulan dan pemeriksaan bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) setiap 15 bulan.

1e0ddf49-5e60-4273-b9b2-79a151d4ec61

Menurutnya, walaupun kes terperangkap di dalam lift di negeri ini hanya dua iaitu di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini dan Pasaraya Mydin di Meru, tetapi ia tidak boleh dipandang ringan.

“Walaupun ia kes terpencil, tetapi kalau ianya tidak diambil pro-aktif dan tindakan-tindakan dari semasa ke semasa, ia boleh juga menyebabkan isu yang besar, apatah lagi berkemungkinan ada yang maut dan sebagainya,” katanya.

Beliau ditemui selepas melakukan pemeriksaan di lift di sebuah Pasaraya Mydin Meru, bersama-sama pihak JKKP dan Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat pada Isnin.

Lawatan itu adalah susulan daripada dua kes pelanggan terperangkap di dalam lift pusat membeli belah berkenaan, termasuk sepasang warga emas yang terperangkap lebih 24 jam pada 26 Jun lalu.

Kes kedua pada Jumaat lalu yang menyebabkan 10 pelanggan terperangkap kira-kira 15 minit yang disebabkan oleh gangguan bekalan elektrik.

Samsudin berkata, kerajaan negeri berpuas hati dengan komitmen pasaraya berkenaan untuk menyediakan kakitangan statik yang menjaga lift di samping pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di dalam lift serta kemudahan intercom.

Sementara itu, Pengarah JKKP Perak, Ir Mohd Hatta Zakaria memberitahu, sehingga Jun lalu, sebanyak 600 daripada 1,800 lift di seluruh negeri telah diperiksa oleh pihaknya.