SLIM RIVER: Polis menasihatkan masyarakat supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim seperti memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal

Colon, wakil atau penganjur pula perlu mendapatkan permit daripada pihak polis untuk mengadakan ceramah atau syarahan sepanjang dengan mematuhi kepada protokol Suruhanjaya Pilihan Raya dan juga Majlis Keselamatan Negara.

Ketua Polis Daerah Muallim, Supritendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, antara syarat ialah lokasi berkempen mestilah tertutup ataupun berpagar, kehadiran tidak melebihi 250 orang dan menyediakan hand sanitizer serta penyukat suhu.

“Penyokong parti juga diingatkan supaya menjaga kelakuan tutur kata sewaktu berkempen dan tidak membuat sebarang provokasi supaya tiada perkara yang tidak diingini berlaku.

“Pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya dan juga mana-mana akta yang bersesuaian dengan kesalahan tersebut dan tindakan kompaun juga boleh dikenakan memandangkan kita masih lagi di dalam tempuh PKPP,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim di Slim River pada Jumaat.

PRK DUN Slim akan diadakan pada 29 Ogos ini berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

Seramai 23,094 pengundi berdaftar untuk PRK DUN Slim kali ini, dengan 277 pengundi dari Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan mengundi awal pada 25 Ogos.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan daripada jumlah itu 32 membentuk Perikatan Nasional terdiri daripada 25 BN yang kesemuanya UMNO, Bersatu (empat), PAS (tiga) manakala DAP (16), Amanah (lima), PKR (tiga), Bebas (dua) serta Gerakan (satu).