KUALA LUMPUR: Pemilik premis perniagaan diingatkan supaya mematuhi waktu operasi dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu sehingga jam 12 tengah malam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ini kerana pihak berkuasa mendapati masih terdapat premis perniagaan beroperasi lebih masa sehingga 24 jam.

Beliau menegaskan tindakan akan diambil sekiranya mereka masih ingkar arahan PKP.

“Ramai keliru mengenai waktu operasi bagi premis perniagaan. Kita sudah umumkan bahawa waktu operasi hanya sehingga jam 12 tengah malam.

“Didapati ada premis yang beroperasi sehingga 24 jam seperti kedai serbaneka 24 jam.

“Saya tidak tahu kenapa mereka buka, mungkin mereka dapat kebenaran dari PBT (pihak berkuasa tempatan). Saya tekankan sekali lagi bahawa semua premis perniagaan dibenarkan dibuka sehingga jam 12 tengah malam sahaja dan tidak lebih dari itu.

“Saya tahu ada kedai serbaneka beroperasi lebih masa… apabila melihat klinik buka 24 jam dia pun sama nak buka 24 jam. Klinik adalah keperluan kerana sakit tak kira waktu. Tetapi kalau kedai serbaneka buka hanya untuk beli rokok, itu bukan barang keperluan yang membolehkan mereka buka sehingga 24 jam,” katanya pada sidang media, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, mesyuarat khas hari ini menetapkan waktu operasi bagi premis perniagaan termasuk kedai serbaneka 24 jam hanya dibenarkan sehingga jam 12 tengah malam.

Bagi klinik atau hospital swasta yang dibenarkan beroperasi 24 jam, beliau berharap segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan sentiasa dipatuhi termasuk penggunaan aplikasi MySejahtera. -BH