IPOH: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan YouTuber masakan, S. Pavithra, 28, menghantar surat rasmi bagi menarik balik tuduhan terhadap suaminya, M. Sugu, 29, berhubung kes mendatangkan kecederaan.

Hakim Norashima Khalid mengeluarkan perintah itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd. Radzi memaklumkan bahawa Pavithra mahu menarik balik kes berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 September depan sebagai sebutan semula kes.

Mengikut pertuduhan, Sugu didakwa mendatangkan kecederaan di bibir, pipi kiri dan lengan kanan Pavithra menggunakan telefon bimbit dan hulu sabit di parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, pada 21 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika didapati bersalah.

Mahkamah turut menetapkan 8 September sebagai tarikh sebutan semula bagi satu lagi kes terhadap Sugu atas tuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit berukuran 66 sentimer pada tempat dan hari yang sama.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pavithra turut dilihat berada di pekarangan mahkamah bersama anak bongsunya untuk memberikan sokongan terhadap suaminya.