PARIT: Youtuber masakan terkenal S Pavithra, 28, mengakui tidak memerlukan bantuan mana-mana pihak termasuk kaunselor dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam menangani masalah serta kemelut rumah tangga bersama suaminya, M Sugu, 29.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, pengakuan itu dibuat Youtuber tersebut ketika pertemuan dengan wakil JKM di rumahnya di Sungai Siput 22 Julai lalu.

Menurutnya, Pavithra yakin dapat menyelesaikan kemelut yang dihadapi dan dapat menguruskannya dengan sebaik mungkin.

“Ketika intervensi itu berlangsung beliau mengatakan tidak perlu bantuan dan bimbingan (dari JKM) setakat ini dan beliau yakin dapat menyelesaikan kemelut dan isu keluarga itu dengan baik serta dapat menguruskannya

“Pihak JKM ada memaklum kepadanya bahawa kita (JKM) sentiasa bersedia dengan kaunselor yang kita ada dengan kaunseling malah sudah memberikan nombor untuk dihubungi tidak kira masa jika memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Perak Fasa Kedua di Rumah Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Warga Miskin Parit, (Bait Al Amin) di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah JKM Perak, Nortipah Majin Pengerusi Bait Al Amin, Razlan Zamzuri.

Wan Norshikin berkata, Pavithra juga meminta orang ramai, khususnya netizen supaya memberikan dia dan suami ruang yang secukupnya bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku.

Pada 24 Julai, Sugu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas dakwaan memiliki senjata berbahaya dan menyebabkan kecederaan ke atas isterinya menggunakan telefon bimbit serta hulu sabit.

Bagaimanapun Selasa lalu, Pavithra mengakui memaafkan perbuatan suaminya itu.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan Sugu yang dalam keadaan mabuk membawa sabit mencari adik iparnya kerana masalah keluarga di luar wad bersalin Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

Kejadian itu berpunca akibat salah faham antara suspek dengan isterinya berkaitan satu majlis yang berlangsung sehari sebelum itu.

Terdahulu, Wan Norashikin berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi menyediakan PRE Fasa Kedua membabitkan 215 rumah kebajikan dengan kira-kira 6,000 penghuni.

Melalui bantuan itu, setiap penghuni menerima RM150 secara ‘one off’.