KUALA LUMPUR 7 Sept. – PERGERAKAN Pemuda UMNO hari ini mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan sidang khas tergempar bagi menyelesaikan krisis kemanusiaan yang melanda etnik Rohingya di Myanmar.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, desakan tegas itu senada dengan rakan-rakan parti komponen Barisan Nasional (BN), Majlis Belia Malaysia (MBM), pertubuhan-pertubuhan belia serta pertubuhan lain dalam mencari penyelesaian terbaik isu tersebut.
Menurutnya, Pemuda UMNO pada 30 November 2016 pernah mendesak agar krisis tersebut diselesaikan segera kerana situasi yang melanda etnik Rohingya tidak boleh diterima oleh mana-mana manusia sekali pun, namun ia semakin buruk dengan kemuncaknya pada 25 Ogos lalu apabila lebih 400 rumah dibakar dan ramai etnik Rohingya yang dibunuh serta diseksa.
“Hampir 125,000 pelarian Rohingya terpaksa meninggalkan Myanmar dan lari ke Bangladesh dalam tempoh dua minggu sahaja. Mengikut anggaran PBB sendiri angka ini dijangka naik sehingga mencecah 30,000 pelarian dalam masa terdekat ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UMNO di sini, hari ini.
Turut menyertai sidang akhbar itu ialah Presiden Myanmar Ethnic Rohingya Human Rights Organization Malaysia (MERHROM), Zafar Ahmad Abdul Ghani.
Khairy yang juga Pengerusi Pemuda BN turut menyokong gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres supaya mencari pendekatan terbaik bagi menyelesaikan konflik itu secara keseluruhan
“Dunia perlu mengambil langkah pantas bagi menyelesaikan kekejaman ke atas etnik Rohingya sepertimana kita bertindak apabila krisis kemanusiaan dan kekejaman berdarah melanda mana-mana kumpulan insan sekalipun.
“Oleh itu, kami sekali lagi menegaskan bahawa penyelesaian jangka panjang perlu dirancang dan dilaksanakan serta merta, bermula dengan sidang khas tergempar PBB. Pemuda UMNO dan beberapa pihak lain juga akan mengadakan demonstrasi bantahan atas semangat solidariti dengan etnik Rohingya dan menghantar memorandum rasmi kepada Wisma PBB pagi esok serta kepada kedutaan Myanmar selepas solat Jumaat,” ujarnya.
Pada sidang akhbar itu Khairy turut melancarkan kempen #tearsforRohingya sebagai salah satu usaha yang digerakkan dalam misi kemanusiaan berkenaan.
“Kempen ini perlu digerakkan oleh seluruh rakyat Malaysia dan ia amat penting kepada kita dalam usaha memberi tekanan kepada PBB untuk mengadakan sidang khas, penting untuk kita mendesak agar negara-negara jiran terutama dalam ASEAN dan OIC terus bersuara dan mencari penyelesaian jangka masa panjang.
“Kita berharap desakan ini diambil perhatian serius dan akan memberi kekuatan kepada kerajaan kita terutama Perdana Menteri dan Menteri Luar yang akan ke PBB pada minggu depan untuk Perhimpunan Agung PBB bagi menyatakan pendirian Malaysia yang datang daripada rakyat Malaysia sendiri,” katanya.
-Utusan Online