KUALA LUMPUR: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) tidak berhasrat kembali menyertai Barisan Nasional (BN), sebaliknya akan kekal bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Naib Yang Dipertua Kanan PBB, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata parti itu akan tetap menyokong Kerajaan Persekutuan dan meneruskan kerjasama erat dengan Perikatan Nasional (PN).

“Setakat ini tidaklah (kembali sertai BN), itu kena tanya Ketua Menteri Sarawak (Yang Dipertua PBB), tetapi setakat ini kita kekal dengan GPS dan akan bekerjasama secara erat dengan semua pihak.

“GPS sejak keluar dari BN masih lagi bekerjasama secara erat dengan PN yang terdiri daripada gabungan Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PAS, UMNO dan juga komponen BN yang lain,” katanya ditemui selepas melancarkan Pelan Strategik Jabatan Kerja Raya (JKR) 2021-2025 di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), di sini, hari ini.

PBB keluar daripada BN selepas PRU Ke-14 dan memilih untuk bersama tiga lagi parti tempatan di negeri itu iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) menerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Dalam pada itu, Fadillah menafikan siri konvensyen khas PBB yang telah diadakan di dua zon iaitu Betong dan Miri pada bulan ini sebagai persediaan awal bagi menghadapi PRN Sarawak.

“Rasanya tidak ada kaitan dengan PRN Sarawak, …sepatutnya konvensyen ini dibuat lebih awal, tetapi tergendala disebabkan COVID-19.

“Disebabkan itu setiap bahagian kita gabungkan kepada empat zon dan selepas ini konvensyen PBB akan diadakan di Sibu dan penutupnya bagi zon Kuching,” katanya.

Fadillah turut memberitahu, PBB ketika ini memberi tumpuan kepada isu berkaitan pembangunan dan hak negeri itu sebagaimana terkandung di dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam ucapan sempena sambutan Hari Malaysia di Sibu, Sarawak, memaklumkan mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 September bersetuju menubuhkan Majlis Khas Mengenai MA63 bagi memastikan hak rayat di Sabah dan Sarawak dikembalikan.

Majlis Khas itu katanya akan membincangkan isu yang berkait kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu, hak negeri di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan, MA63 dan Laporan Intergovernmental Committee, keselamatan negeri dan pendidikan.