MELAKA: Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) yakin kerajaan mampu memberi bantuan awal kepada persatuan terbabit berjumlah RM500,000 seperti terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH).

Presidennya, Hussin Awang Ngah, berkata ini kerana kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sangat komited untuk membela nasib rakyat, khususnya bekas anggota keselamatan seperti polis dan tentera.

Katanya, menerusi Manifesto PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, kerajaan sangat komited menjaga kebajikan rakyat khususnya dan pesara polis amnya.

“Dinyatakan dengan jelas bahawa kerajaan akan membantu menggerakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti persatuan bekas polis dan tentera dengan memperuntukkan bantuan awal sebanyak RM500,000, seperti tercatat dalam buku merah PH di muka surat 65 dan 66, perenggan 20,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan PBPM Melaka Kali Ke-42 oleh Ketua Menteri, Adly Zahari di Restoran Melayu Melaka, di sini, hari ini.

Sementara itu, Adly berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan pesara polis yang selama ini membantu dalam pelbagai aspek, termasuk keselamatan rakyat, terutama selepas menamatkan perkhidmatan sebagai anggota polis.

Katanya, khidmat dan pengalaman mereka sentiasa diperlukan, terutama ketika negeri diancam dengan pelbagai bentuk jenayah, termasuk kes kecil seperti ragut dan samun.

“Kita di peringkat kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha NGO kerana ia selari dengan matlamat kerajaan PH.

“Sesungguhnya, peranan NGO adalah sebahagian daripada kita dan sudah pasti kita akan membantu menjaga kebajikan ahli mereka,” katanya – hmetro