PANGKOR: Kerajaan negeri Perak akan memastikan semua aset milik anak syarikat kerajaan Perak, Perak Corporation Berhad (PCB) tidak akan dijual termasuk Lumut Port.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perubahan juga dilakukan untuk memastikan syarikat itu kembali membawa keuntungan kepada kerajaan negeri.

Menurutnya, antara perubahan itu iah membawa masuk beberapa tokoh korporat ke dalam Lembaga Pengarah di samping mencari jalan penyelesaian untuk mengeluarkan PCB daripada senarai Nota Amalan 17 (PN17) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities).

“Kita tak ada niat nak jual mana-mana aset yang ada. Malahan apabila lembaga pengarah baharu berjumpa dengan saya, saya telah mengatakan kita perlu ‘turn around’ syarikat tanpa menjual apa-apa aset walau sebatang pensil sekali pun.

“Kita boleh menggunakan kreativiti dan usaha kuat untuk membantu mengembalikan PCB sebagai sebuah syarikat yang menguntungkan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) ke-23 (PB23) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pulau Pangkor di sini hari ini.

Ahmad Faizal menafikan dakwaan Pengerusi Penyelaras Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Perak, Datuk Hamidah Osman kononnya PCB berdepan tindakan bankrap dan bakal kehilangan aset penting berikutan beban hutang dialami syarikat terbabit.

Ahmad Faizal berkata, usaha juga sedang dilakukan untuk menguasai sepenuhnya pegangan di dalam Lumut Port.

Menurutnya, maklumat-maklumat yang didedahkan oleh Naib Presiden Putra itu tidak mempunyai asas dan tidak diketahui sumber sebenar.

Terdahulu, Hamidah dalam satu sidang media di Ipoh mendedahkan bahawa PCB bakal bankrap dan aset-aset milik syarikat itu akan dijual termasuk Lumut Port bagi membayar hutang.