Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH – Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) menjelaskan bahawa penggantungan dagangan saham Perak Corporation Berhad (PCB) di Bursa Malaysia adalah disebabkan oleh kegagalan syarikat itu menerbitkan Laporan Akaun Beraudit bagi Tahun 2016 sebelum tempoh yang telah ditetapkan.

Ketua Bahagian Divisyen Hal Ehwal Perhubungan Kerajaan, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, Sayed Shariffudin Sayed Shamshuddin berkata, PCB sepatutnya menerbitkan laporan tersebut sebelum atau pada 30 April 2017 sebagaimana yang ditetapkan oleh pihak Bursa Malaysia.

Beliau berkata, kegagalan itu adalah berkait dengan isu-isu perakaunan dan pengauditan yang perlu diselesaikan oleh juruaudit sebelum akaun PCB dapat diluluskan.

“Dari penelitian pihak PKNP, isu-isu audit ini adalah berkaitan dengan tataurus dan pematuhan juruaudit dan sama sekali tidak melibatkan isu-isu integriti, kedudukan kewangan atau aset PCB.

“PKNP percaya bahawa kedudukan kewangan dan aset PCB adalah mantap dan berdaya maju. PKNP juga telah dimaklumkan bahawa isu akaun beraudit ini akan diselesaikan sebelum hujung bulan Mei 2017 sepertimana yang telah diumumkan oleh pihak PCB,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Ipoh, pada Rabu.

Semalam, Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham menggesa kerajaan negeri memberi penjelasan isu penggantungan syarikat PCB daripada menjalankan sebarang urus niaga di Bursa Malaysia.

Koo Ham mendakwa penggantungan itu pasti berpunca daripada kegagalan urus tadbir syarikat berkaitan kerajaan itu.

Dalam pada itu, Sayed Shariffudin menegaskan, PKNP akan memantau keadaan dari semasa ke semasa bagi memastikan Mesyuarat Agung Syarikat PCB diadakan di dalam tempoh yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia.

Katanya, sebagai agensi Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan sosio ekonomi negeri, PKNP yakin bahawa isu PCB ini tidak langsung menjejaskan semua perancangan dan pelaksanaan projek-projek yang sedang dilaksanakan oleh PKNP atau PCB.