PUTRAJAYA: Parti Cinta Malaysia (PCM) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) supaya menyiasat pendedahan 101 projek perolehan RM6.61 bilion ditawarkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) secara rundingan terus.

Naib Presiden PCM, Muralitharan Ramachandran, berkata SPRM perlu menjalankan siasatan terhadap bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng itu.

Beliau berkata, SPRM juga digesa menyiasat kelulusan dan kelayakan syarikat terbabit dalam melaksanakan projek itu.

“SPRM harus menyiasat adakah berlakunya pengaliran wang oleh kerajaan ke atas syarikat terbabit.

“SPRM perlu siasat adakah nilai sesuatu projek itu diluluskan mengikut dasar dan berpatutan dengan nilai semasa projek berkenaan atau ia membabitkan harga yang sudah dinaikkan.

“Jika perkara itu berlaku, apakah status kewangan berkenaan dalam syarikat itu merujuk kepada pelaksanaan projek berkenaan,” katanya kepada pemberita sebelum membuat laporan di SPRM di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat mendedahkan pentadbiran negara ketika diterajui PH selama 22 bulan meluluskan 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus. -BH