IPOH: Timbalan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Kuala Kangsar berhampiran lampu isyarat Bandar Baru Seri Klebang di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 pagi itu, mangsa, Jeffrey Abdullah, 47, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala dan dada.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal sendirian dalam perjalanan menuju ke Sungai Siput.

Menurutnya, siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada kereta Perodua Myvi yang dipandu wanita berusia 36 tahun yang dipandu dari arah bertentangan memasuki simpang di lokasi kejadian.

“Mangsa mengalami kecederaan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini,” katanya.

Zakaria berkata, hasil bedah siasat mengesahkan kematian mangsa disebabkan ‘head and chest injuries consistent with road traffic crash’.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, mangsa meninggal dunia di pangkuan ketuanya, Mohd Hamidi Manas yang kebetulan melalui kawasan kejadian kira-kira jam 7.25 pagi.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, mereka kehilangan seorang pegawai yang berdedikasi dan berpengalaman dalam bidang menyelamat.

Katannya, arwah seorang yang mudah beri kerjasama ketika bertugas selain berpengalaman kerana beliau merupakan bekas anggota SMART yang pernah terlibat dalam pelbagai misi termasuk di luar negara.

Jenazah Allahyarham Jeffrey dikebumikan di kampung halaman di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Medan, Parit.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Yuhazlina Muktar dan enam anak.