KAMPAR 2 Okt. – Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor berusia 25 tahun meninggal dunia semasa sedang menjalani latihan kecergasan di Kem Changkat di Batu Gajah semalam.

Mohammad Hanafi Rahman yang bertugas di Unit Penguatkuasa, Bahagian Pendakwaan JIM Johor meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh pada pukul 6.55 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman berkata, pegawai tersebut yang mula menjalani latihan sejak kelmarin dimasukkan ke Hospital Batu Gajah pada pukul 11 pagi semalam setelah dilihat berada dalam keadaan lemah.

Katanya, Mohammad Hanafi kemudiannya dirujuk di HRPB pada sebelah petang bagi rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia.

“Proses bedah siasat telah dijalankan semalam dan keputusannya masih ‘pending’. Pemeriksaan luaran terhadap tubuh mangsa tidak menjumpai sebarang kecederaan yang boleh dikaitkan dengan perlakuan sesiapa.

“Mayat mangsa telah dituntut oleh ahli keluarganya semalam dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – UTUSAN ONLINE