IPOH, 12 JAN – Seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat Leftenan Kolonel sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan menerima wang berjumlah RM114,000 hasil aktiviti haram lima tahun lalu.

Tertuduh, Azman Mohamed Yasin, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan, Azman didakwa menerima wang berjumlah RM114,000 melalui cek sebuah bank milik Mohamad Adkaa Solahuddin yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di sebuah bank di Bidor pada 25 Oktober 2016.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd. Amir Aizat Abdul Rani.

Terdahulu, Nurul Wahida mencadangkan jaminan terdahulu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur iaitu RM80,000 dengan seorang penjamin digunapakai untuk kes ini.

Pendakwaan turut memohon mahkamah memindahkan kes ini ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama dengan kes yang dihadapi tertuduh di sana.

Tiada bantahan daripada pihak pembelaan dan mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan.

Kosmo! pada 24 November lalu melaporkan, dua pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini masing-masing atas empat pertuduhan pecah amanah dan salah guna harta berhubung skim pelaburan yang tidak wujud berjumlah RM920,000 empat tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh iaitu, Azman dan bekas komandan akademi, Brigadier Jeneral (B) Datuk Mohamad Adkaa Solahuddin, 63, membuat pengakuan tidak bersalah sebelum dibenarkan diikat jamin masing-masing RM80,000 dengan seorang penjamin. – K! ONLINE