Subscribe Now

Trending News

Pegawai Polis Parah Terlibat Nahas Di Gopeng
Dalam Negeri

Pegawai Polis Parah Terlibat Nahas Di Gopeng 

GOPENG – Seorang pegawai polis parah apabila Proton Persona yang dipandunya terlibat dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Kilometer 300.4 Lebuh Raya Utara – Selatan arah Utara di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, Inspektor A Gopi Nayar, 29, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Brickfield, Kuala Lumpur dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, empat mangsa lain termasuk dua pelajar berusia 25 hingga 20 tahun mengalami cedera ringan turut mendapatkan rawatan di hospital sama.

“Siasatan awal mendapati Proton Iswara yang dipandu mekanik tidak sempat mengelak dan berpusing dua kali selepas sebuah lori berhenti di tengah jalan kerana terbabas.

“Sebuah Honda HRV dari arah sama melanggar Proton Iswara terbabit dan Proton Persona yang dipandu mangsa cuba mengelak ketiga-tiga kenderaan lalu terbabas dan merempuh penghadang jalan di bahagian kiri,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan kesemua mangsa yang terlibat dibawa mendapatkan rawatan di HRPB.

“Tiada tangkapan dibuat setakat ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

-SinarHarian

Related posts