KUALA TERENGGANU: Seorang pegawai undang-undang ditahan reman sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan dakwaan meliwat seorang remaja lelaki orang kurang upaya (OKU), Disember lalu.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan.

Suspek berusia 34 tahun dari Pekan, Pahang, ditahan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam di Kuantan selepas menerima laporan daripada ibu mangsa, Isnin lalu.

Kejadian malang menimpa mangsa berusia 19 tahun hanya diketahui ibunya Ahad lalu, selepas menerima mesej daripada bekas guru anaknya itu yang memaklumkan mengenai video mengaibkan tular di laman sosial.

Sumber berkata, suspek dipercayai melakukan perbuatan tidak bermoral itu terhadap mangsa yang pekak dan bisu di sebuah hotel di bandar raya ini pada Disember lalu.

Difahamkan suspek berkenalan dengan mangsa yang ketika kejadian berusia 18 tahun di sebuah stesen bas ketika mahu membeli vape yang dijual remaja berkenaan.

“Bekas guru mangsa memaklumkan kepada ibu remaja berusia 41 tahun bahawa terdapat sebuah video mengaibkan membabitkan anak istimewanya itu tular di laman sosial.

“Bimbang video mengaibkan anaknya yang juga pemegang kad OKU terus tersebar dan menjejaskan nama baik keluarga, ibu mangsa membuat laporan polis Isnin lalu untuk tindakan lanjut,” katanya – Berita harian