TANJUNG MALIM: Parti baharu yang diterajui bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan seorang peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi sebagai calon mereka untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Amir Khusyairi, 38, bagaimanapun diumum bertanding atas tiket Bebas bagi kerusi N.58 Slim pada 29 Ogos ini.

Watikah pelantikan sebagai calon itu disampaikan sendiri Mahathir dalam satu majlis memperkenalkan calon PRK DUN Slim di Taman Slim Permata, Slim River, pada Rabu malam.

Turut hadir Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke.

Amir Khusyairi merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa dan Diploma Ijazah Syariah Universiti Teknologi Mara.

Beliau merupakan anak kepada pasangan bekas Naib Kadi Teluk Intan, Allahyarham Mohamad Tanusi Maulut dan pesara guru agama, Jariah Mohd Yunus.