KUALA LUMPUR – Polis hari ini menggeledah tiga lokasi berasingan di ibu negara melibatkan stesen penyiaran Al Jazeera, Astro dan UnifiTV berhubung siasatan kes dokumentari Locked Up in Malaysia’s Lockdown 101 East.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata,  Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman telah memperoleh waran geledah dari Mahkamah Kuala Lumpur dan Mahkamah Majistret Sepang untuk penggeledahan di tiga lokasi berasingan itu.

“Tindakan pelaksanaan waran geledah ini dilakukan bersama-sama pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang turut membuka kertas siasatan ke atas stesen penyiaran tersebut,” katanya dalam kenyataan berkaitan serbuan itu malam ini.

Tambah beliau, dalam serbuan itu, polis turut merampas komputer dan kesemua rampasan akan dihantar ke SKMM untuk analisa lanjut.

“Keterangan saksi-saksi lain turut diambil ketika serbuan geledah dilaksanakan di ketiga-tiga premis itu.

“Tindakan itu dilaksanakan bagi membantu siasatan lanjut dalam kes tersebut dan hasil dapatan siasatan berkenaan akan diangkat kepada pejabat Peguam Negara dalam tempoh terdekat,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa tindakan yang dilaksanakan adalah berlandaskan undang-undang.

“Tiada individu ataupun entiti yang akan terlepas daripada sebarang tindakan jika mereka mencabuli undang-undang yang berkuatkuasa di Malaysia,” tegas Huzir. -MalaysiaGazette