BAGAN DATUK: Walaupun undi adalah rahsia tetapi tidak salah untuk penjawat awam terus memilih kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa menjaga kebajikan mereka.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpendapat, kenyataan bahawa penjawat awam boleh mengundi sesiapa sahaja disifatkan sebagai langkah yang silap.

Menurut beliau, adalah silap untuk memilih pihak yang mahu mengecilkan saiz penjawat awam sekiranya mereka menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Sebaliknya, kata beliau, BN tidak pernah berhasrat untuk mengecilkan saiz penjawat awam yang ada lebih 1.6 juta sekarang.

“Undi itu rahsia, tetapi untuk mengundi siapa sahaja, saya fikir itu langkah yang silap.

“Kerajaan yang ada pada hari ini, sama ada di peringkat daerah Bagan Datuk atau di peringkat negeri Perak atau yang berada di peringkat Malaysia adalah kerajaan yang prihatin terhadap kebajikan pegawai dan kakitangan awam.

“Jika Barisan Nasional terpilih, apatah lagi terpilih dengan lebih daripada 2/3 majoriti dan Dewan Undangan Negeri Perak lebih 2/3 majoriti, akujanji kita, kerajaan Perak dan Persekutuan, kita akan memberikan keutamaan serta kebajikan kepada semua pegawai dan kakitangan awam dan kita tidakpun pernah berhasrat untuk mengurangkan jumlah pegawai dan kakitangan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perjumpaan bersama penjawat awam di Dewan Datuk Lope Hashim di sini, hari ini.

Hadir sama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang, Datuk Khairudin Tarmizi, calon DUN Rungkup, Datuk Sharul Zaman Yahya dan Pegawai Daerah Bagan Datuk, Datuk Hamzah Husin.

Semalam, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pada hari mengundi 9 Mei depan, penjawat awam boleh mengundi sesiapa sahaja kerana undi adalah rahsia.

Zahid berkata, kerajaan BN tidak berhasrat mengecilkan saiz penjawat awam semata-mata untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat keseluruhannya.

Beliau yakin, daerah Bagan Datuk akan terus berkembang dengan pelbagai projek pembangunan, sekiranya DUN Hutan Melintang turut diwakili wakil rakyat BN.