SLIM RIVER: PAS akan pastikan kira-kira 4,000 undi diperoleh calon PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU Ke-14) lalu, diberikan sepenuhnya kepada calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Sabtu ini

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, berkata tidak akan ada ahli PAS berpaling tadah menyokong mana-mana calon Bebas terutama calon Bebas mewakili Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).

Katanya, keahlian PAS sebelum ini sudah ditapis dan ahli yang tidak bersetuju dengan PAS sudah berhijrah ke Parti Amanah Negara (AMANAH).

“Ahli PAS sedia ada tulen, manakala dakwaan beberapa ahli PAS Tanjung Malim tidak bersetuju pencalonan Mohd Zaidi adalah tidak benar sama sekali.

“PAS tidak mencampuri hal ehwal dalaman UMNO dan dakwaan terbabit cuba dimainkan untuk mendapat perhatian politik.

“Dakwaan itu tidak sedikit pun menjejaskan pendirian ahli dan sokongan PAS kepada calon BN kerana ahli PAS berpegang teguh dengan ajaran Islam dan mempunyai integriti tersendiri,” katanya ketika ditemui di Pondok Muallim di sini, hari ini.

Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semanggul berkata, Mohd Zaidi ialah lulusan bidang Ilmu Wahyu dan Al-Quran dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAA) hingga tiada sebab PAS memilih atau mengundi calon lain.

“Kita perlu menyokong apa diputuskan pucuk pimpinan yang menetapkan untuk memberi sokongan kepada calon BN kerana BN.

“Ini arahan parti yang wajib dipatuhi dan saya berharap calon Bebas mewakili Parti PEJUANG jangan bermimpi di siang hari untuk mendapatkan undi pengundi PAS dalam PRK ini,” katanya.

Sementara itu, Yang DIpertua (YDP) PAS Tanjung Malim, Mohd Tarmizi Ab Rahman, berkata ahli PAS akan patuh kepada pimpinan PAS pusat, negeri dan kawasan.

Mohd Tarmizi berkata, sukar untuk pengundi atau ahli PAS melanggar arahan kerana ahli PAS ditarbiah agar mematuhi setiap arahan demi kebaikan parti.

Beliau berkata, dakwaan pemimpin parti PEJUANG baru-baru ini hanyalah lontaran politik dan mereka yang menyokong beliau selama ini pun adalah ahli yang sudah lama meninggalkan PAS serta bahagian ini.

“Pada hari terakhir kempen, saya akan gerakkan seluruh jentera PAS dan akan turun padang sendiri jumpa ahli PAS terutama ahli lama PAS.

“Orang lama ini agak keras sedikit kerana (tiada) pengalaman mengundi BN, saya pun buat kali kali pertama dalam mengundi calon BN,” katanya.