IPOH : Sekumpulan pekebun di Perak merayu bantuan pemain bola sepak negeri bagi menghalang kerajaan negeri merampas tanah mereka untuk dihadiahkan kepada skuad itu atas prestasi cemerlangnya.

Dalam satu surat terbuka kepada skuad itu, pekebun terbabit berkata, ada di antara mereka ialah cucu kepada petani yang meneroka tanah itu 40 atau 50 tahun dahulu dan kini digunakan untuk menanam sayur-sayuran yang menjadi punca pendapatan utama mereka.

Katanya, mereka terkejut menerima notis Pejabat Tanah Kinta bertarikh 5 Julai lalu yang mengarahkan mereka mengosongkan tanah di Ulu Chemor, Hulu Kinta dalam tempoh 14 hari atau berisiko dipenjarakan 5 tahun atau denda RM500,000.

“Kami percaya pemain bola sepak tidak tahu tanah yang telah kami usahakan selama beberapa dekad dalam proses dirampas dan dihadiahkan kepada anda. Kami berharap anda boleh membantu kami menghentikan pengusiran ini.

“Kami juga bangga skuad bola sepak negeri kita telah menang beberapa pertandingan dan kami tidak membantah hasrat menteri besar menghadiahkan anda lot tanah. Tetapi, mengapa merampas tanah yang kami perlukan untuk rezeki kami?

“Kami tidak memiliki tanah pertanian lain – hanya 2 hingga 5 ekar ini yang kami usahakan. Kami bukan tauke kaya.”

Katanya, mereka menghantar surat rayuan kepada menteri besar semalam bagi meminta kerajaan negeri mencari tanah yang dilupuskan kepada syarikat berkaitan kerajaan Perak untuk dihadiahkan kepada skuad bola sepak negeri itu.

Pada 30 Mei lalu, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu mengumumkan 39 pemain dan pegawai skuad Liga Super Perak menerima lot tapak kediaman di Hulu Kinta atas kejayaan menjuarai Piala Malaysia pada musim lalu dengan menundukkan Terengganu FC 4-1 pada 28 Oktober 2018.

Saya didatangi orang Dr Mahathir – Zahid

49 ahli kecewa dengan Pas sertai Amanah