IPOH: Seorang pekerja kedai tomyam warga asing cedera di kepala apabila cuba melarikan diri daripada ditangkap dalam operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Imigresen Perak di sekitar Ipoh pada Isnin dan Selasa.

Pengarah Imigresen Negeri Perak, Kamalludin Ismail berkata, beberapa pekerja asing turut cuba melarikan diri ketika serbuan dibuat di sebuah rumah kongsi tapak pembinaan di Mukim Ulu Kinta yang disyaki menggaji warga asing tanpa pas yang sah.

Bagaimanapun, katanya, ketangkasan pegawai operasi yang telah mengepung kawasan pembinaan terbabit menangkis cubaan melarikan diri warga asing itu dalam operasi yang bermula 8.00 malam Isnin dan berakhir 4.00 pagi Selasa.

“Sebanyak enam lokasi telah diserbu iaitu di sebuah rumah kongsi tapak pembinaan, sebuah stesen bas, dua buah pusat refleksologi dan dua buah kedai tom yam,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Beliau memberitahu, seramai 72 orang daripada pelbagai warganegara telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut, seramai 29 orang telah ditahan melibatkan 11 lelaki warganegara Bangladesh, 10 lelaki warganegara Indonesia, empat wanita dan seorang lelaki warganegara Thailand, dua wanita warganegara China serta seorang lelaki warganegara India.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua mereka yang berumur antara 24 dan 44 tahun telah melakukan pelbagai kesalahan di Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, melanggar syarat Pas Lawatan dengan bekerja secara tidak sah serta tinggal lebih masa di negara ini.

Mereka ditahan untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Imigresen Langkap.