TIGA pengurus di sebuah firma di Zunyi, China, baru-baru ini ditahan kerana didakwa ‘menghukum’ pekerjanya dengan cara ekstrem, temasuk memaksa mereka memakan lipas.

Semuanya gara-gara pekerjanya tidak mencapai sasaran jualan.

Penahanan dibuat selepas seorang kakitangan mengadu di media sosial mengenai hukuman yang memalukan itu, kerana gagal mencapai sasaran daripada pihak pengurusan.

Postingnya termasuk sebuah video menunjukkan seorang lelaki tidak berbaju, berdiri di tengah sebuah bilik dan disebat dengan tali pinggang oleh majikannya, sambil diperhatikan rakan sekerja.

Rakaman tersebut turut menunjukkan segelintir mereka minum cecair kuning, yang didakwa air kencing.

Video tersebut dipadamkan, tetapi paparan skrinnya tersebar dalam talian, sehingga dikesan polis.

“Jika jualan sasaran tidak mencapai sasaran menjelang akhir bulan, ketua kumpulan perlu memakan tiga lipas bagi setiap jualan yang tidak berjaya,” menurut satu pesanan teks yang memberi amaran, dihantar oleh pengurus, dan disiarkan dalam akhbar tempatan, Zunyi Yaowen.

Pesanan teks yang lain turut mendedahkan beberapa hukuman kejam yang dilaksanakan oleh pengurus firma itu, termausk minum air cuka atau air tandas, jual kondom dan tuala wanita di jalanan, dan mencukur kepala mereka.

Susulan pendedahan mengejutkan itu, netizen mempersoalkan mengapa kakitangan syarikat berkenaan tidak berhenti dan mencari kerja lain.

Bagaimanapun, seorang pekerja memberitahu Pear Video bahawa kebanyakan mereka masih belum mendapatkan dua bulan gaji, dan pihak pengurusan mengancam untuk memotong gaji sekiranya mereka berani berhenti kerja. – odditycentral