IPOH: Gara-gara memiliki video dan gambar lucah di dalam telefon bimbit seorang pekerja kilang minyak masak dijatuhi hukuman denda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Siti Hafiza Jaafar menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, K. K. Ravi, 34, membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Mengikut pertuduhan, K. Ravi didakwa memiliki video dan gambar lucah di dalam telefon bimbit jenis Oppo miliknya di sebuah hotel di Taman Jubilee di sini pada Disember 2016.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras ketika berhujah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh memandangkan ia merupakan satu kesalahan yang menjijikkan.

Terdahulu, dalam rayuan kepada anak guamnya, Chiang Mei Wan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda yang ringan kerana tertuduh masih menjaga kedua-dua ibu bapanya.

Siti Hafiza menjatuhkan hukuman denda RM7,000 terhadap tertuduh. Jika gagal membayar, dia akan dikenakan hukuman penjara selama setahun.
Siti Hafiza menjatuhkan hukuman denda RM7,000 terhadap tertuduh. Jika gagal membayar, dia akan dikenakan hukuman penjara selama setahun.

Sehingga petang tadi tertuduh masih belum membayar denda berkenaan.