Seorang pekerja kilang papan di pekan lama di Sungai Petani maut selepas dihempap kayu balak, kira-kira pukul 5.50 petang semalam.

Mangsa, Saad Darus, 47, dikatakan sedang menurunkan kayu balak dari atas lori ke kawasan kilang itu bersama rakannya, Mohd Rifahmi Mohd Isa, 27.

Kayu balak terbabit bagaimanapun terjatuh sebaik ikatan rantai dan penahan dibuka oleh mereka lalu menghempap mangsa yang ketika itu mahu beredar menyimpan besi penahan tersebut.

Saad maut di tempat kejadian manakala Mohd Rifahmi dilaporkan selamat dan hanya mengalami kecederaan di belakang badan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Nor Hafizah Muhammad Lukman berkata, bomba menerima panggilan pada pukul 5.58 petang dan jentera pertama tiba di kilang berkenaan, 15 minit kemudian.

“Setiba di lokasi, didapati seorang mangsa ditimpa kayu balak dan usaha mengalihkan kayu balak dibuat bagi mengeluarkan mangsa,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat, katanya.

– Bernama