PETALING JAYA – Seorang pekerja penghantaran makanan cedera pada muka setelah menjadi mangsa buli jalan raya di Jalan Tengkat, Bandar Utama di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, mangsa dikenali sebagai Wan Muhammad Aiman Wan Azmi, 27, mengalami luka pada bawah mata akibat ditumbuk beberapa kali oleh seorang lelaki yang memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Ketua Polis Daerah Peta­ling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, pada waktu itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego LC terpaksa memberhentikan motosikalnya ke­rana sekatan jalan raya selepas berlaku kemalangan di jalan tersebut.

“Tiba-tiba datang sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux lalu berhenti di belakang mangsa. Pemandu kenderaan itu tidak berpuas hati kerana mangsa berhenti di situ sebelum mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya.

“Suspek kemudiannya menendang motosikal serta me­numbuk muka mangsa beberapa kali sehingga mukanya menjadi bengkak dan luka di bawah mata sebelah kanan,” katanya di sini petang tadi. – K! ONLINE