IPOH: Seorang pelajar tingkatan enam sebuah sekolah di Johor ditahan kerana memuat naik status menghina Sultan Perak di laman Twitter, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, pelajar lelaki berusia19 tahun itu ditahan susulan enam laporan polis yang dibuat pada 14 Oktober lalu berhubung status di Twitter yang menggunakan perkataan menghina Sultan Perak yang tular di media sosial, baru-baru ini.

“Pada 16 Oktober 2017, pihak polis telah berjaya menangkap suspek yang dipercayai pemilik akaun tersebut dan merampas sebuah telefon bimbit yang disyaki digunakan suspek untuk memuat naik status tersebut.

“Hasil siasatan awal mendapati punca munculnya perkataan yang menghina tersebut disebabkan perbalahan antara dua kumpulan bola sepak yang menular di laman sosial iaitu ‘Perak Power!’ dan ‘My Football Liga’ menyebabkan seorang lelaki mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya sehingga menghina Sultan Perak,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Hasnan berkata, suspek merupakan pelajar di sebuah sekolah di Muar, Johor dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada awal November nanti.

Katanya, suspek kini direman selama tiga hari untuk membantu siasatan.

“Pihak polis berharap dengan tertangkapnya suspek seperti ini, ia dapat memberikan kesedaran kepada orang ramai supaya tidak mengambil mudah penggunaan laman sosial sebagai perantaraan untuk meluahkan perasaan, mencaci dan sebagainya, sehingga menyebabkan datangnya aib,” katanya.