PETALING JAYA : Tujuh resolusi Kongres Jawi Kebangsaan yang diluluskan hari ini akan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Putrajaya, esok.

Antara tujuh resolusi tersebut adalah meminta supaya hak sekolah vernakular ditegakkan, meminta supaya pelaksanaan pelajaran jawi di sekolah jenis kebangsaan (SJK) ditangguhkan buat sementara waktu sebelum jalan penyelesaian terbaik dapat ditemui.

Mereka juga meminta supaya tiada paksaan dikenakan kepada para pelajar SJK untuk belajar tulisan jawi serta meminta supaya tulisan jawi dijadikan subjek elektif.

Koordinator Sekretariat Seni Khat Action Team (Sekat), Arun Doraisamy berkata, mereka berharap supaya kerajaan bersetuju untuk mengadakan dialog dengan kumpulan yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India dan wakil daripada Sabah dan Sarawak.

Katanya, kesilapan pertama KPM adalah menjadikan isu ini sebagai isu perkauman dan hanya memanggil Dong Zong sahaja untuk berbincang.

Sedangkan, ia melibatkan semua pihak termasuk para pelajar yang berada di Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, beliau positif dengan perkembangan terkini dan yakin KPM bersedia untuk berdialog dengan kumpulan-kumpulan berkenaan.

“Objektif utama kami adalah mahu mengadakan dialog dengan kerajaan bagi menyelesaikan isu ini, kami tidak membantah tulisan jawi tetapi meminta supaya pelajaran tersebut tidak diwajibkan ke atas semua pelajar menerusi mata pelajaran Bahasa Melayu dan ia sepatutnya dijadikan mata pelajaran elektif supaya mana-mana pelajar yang meminati pelajaran ini boleh mempelajarinya ke peringkat tertinggi.

“Tetapi sekiranya dialog yang dicadangkan itu gagal dan jalan penyelesaian terbaik untuk semua pihak tidak diperolehi, kami akan membawa perkara ini ke mahkamah.

Ini adalah satu keputusan kolektif dan meminta badan-badan bukan kerajaan (NGO) lain untuk bersama kami,” katanya semasa sidang media selepas Kongres Jawi Kebangsaan di sini hari ini.

Tambah Arun, terdapat sebilangan pelajar sekolah vernakular yang masih kurang mahir berbahasa Melayu dan ini yang sepatutnya dijadikan fokus oleh KPM, bukannya mewajibkan pelajaran tulisan jawi.

KPM juga sepatutnya memberi penekanan kepada subjek-subjek kritikal seperti Sains dan Teknologi, tambahnya.

Tujuh resolusi Kongres Jawi Kebangsaan adalah seperti berikut:-

  1. Kami membantah pelaksanaan tulisan Jawi secara paksaan tanpa rundingan
  2. Kami membantah penerapan tulisan Jawi dalam mata pelajaran wajib lulus Bahasa Malaysia
  3. Kami menyeru pelajaran Jawi diperkenalkan sebagai mata pelajaran pilihan
  4. Kami menyeru memartabatkan penggunaan Bahasa Malaysia iaitu bahasa kebangsaan
  5. Kami menyeru supaya mendaulatkan semangat Akta Bahasa dan Perlembagaan Malaysia
  6. Kami menyeru menegakkan hak sekolah vernakular dan pelajaran bahasa ibunda
  7. Kita tangguh dan bincang pelajaran tulisan jawi.

Kongres yang bermula kira-kira jam 10.30 pagi itu sedikit terganggu apabila beberapa ahli NGO Majlis Perundingan Melayu (MPM) termasuk pelakon Ellie Suriaty memasuki dewan ketika salah seorang panel, aktivis Siti Kasim baru sahaja memulakan ucapan.

MPM merupakan antara gabungan NGO Melayu yang menyokong pelajaran tulisan jawi itu pada awalnya tidak dibenarkan masuk tetapi selepas melalui proses pendaftaran yang berbeza dengan peserta lain, mereka dibenarkan untuk mengikuti majlis berkenaan.

Malah Arun, segera menyantuni kumpulan berkenaan yang dijemput untuk duduk di bahagian kiri dewan yang telah dipenuhi kira-kira 300 tetamu.

Beliau turut menjemput kumpulan berkenaan naik ke pentas selepas sesi sidang media dan seterusnya menjemput mereka untuk mengadakan dialog atau forum terbuka bagi membincangkan isu tersebut.

“Apa pun, kita semua rakyat Malaysia yang mahukan yang terbaik untuk negara ini.

“Kami menjemput NGO-NGO yang berbeza pandangan dengan kami untuk berdialog supaya semua pihak memahami permasalahan sebenar isu ini,” katanya.

Jemputan tersebut diterima oleh wakil MPM, Ellie Suriyati yang berkata, akan segera berbincang dengan Arun untuk menetapkan tarikh dialog.- MalaysiaGazette