KUALA KRAI – Pelajar tahfiz terlibat kemalangan di Kilometer 55, Jalan Kuala Krai- Kota Bharu, menunjukkan perubahan positif apabila jantung dan tekanan darahnya makin stabil.

Bapanya, Abd Rahim Salleh, turut meluahkan rasa syukur apabila doktor merawat anaknya, Ahmad Shakir Azfar, 16, memaklumkan buah pinggangnya makin pulih.

Katanya, sebelum ini, doktor memberitahu salah satu buah pinggang anak bongsunya itu cedera dan perlu dibuang.

“Tapi hari ni (semalam) lepas diperiksa, doktor beritahu buah pinggangnya luka dan tak bernanah.

“Keadaan buah pinggangnya juga tak kritikal,” katanya.

Tambahnya, dia gembira dengan perkembangan terkini anaknya walaupun remaja itu masih belum sedarkan diri dan turut diberikan ubat bius.

Kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu berkata, anak kelimanya bercita-cita untuk menghafaz al-Quran dan kini berjaya menghafaz hingga juzuk ke 15.

“Saya harap orang ramai dapat doakan buah pinggang anak saya sembuh, dan dia dapat sambung belajar dan capai cita-citanya menghafaz 30 juzuk al-Quran,” katanya.

Tambahnya lagi, sejak Jumaat lalu, banyak masanya dihabiskan di hospital bagi memberi sokongan kepada anaknya yang cedera pada bahagian abdomen.

Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan tujuh pelajar Maahad Tahfiz Al- Hashimi, Tualang maut setelah terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan ke Program Daurah Madinah Ramadan di Stadium Sultan Muhammad IV atas jemputan kerajaan negeri.

Lima mangsa maut di tempat kejadian dikenali, Mohamad Hafiz Aimullah Mustafa, 18; Muhamad Rahman Rozali, 17; Nik Shah Jehan Nik Azmi, 16, dan Nik Ahmad Daniel Nik Ahmad Rithaudeen, 14, sementara Ahmad Farhan Zulkifli,14, meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Kuala Krai.

Seorang lagi mangsa, Mohd Hakimi Mohd Dahlan, 17, meninggal kira-kira jam 3.30 petang kejadian.

Tiga mangsa kemalangan masih menerima rawatan di hospital masing-masing di Hospital Kuala Krai, Hospital Raja Perempuan Zainab II, (HRPZ II), Kota Bharu dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

-SinarHarian