KUANTAN – Seorang pelajar Tingkatan Empat sebuah sekolah di negeri ini antara empat individu yang ditahan kerana disyaki aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sekitar daerah Pekan.

Empat individu berusia 16 hingga 35 tahun berasal dari Pekan dan Johor itu ditahan di tepi Jalan Kuantan-Segamat, Pekan kira-kira jam 12 tengah hari pada 23 September lalu.

Susulan penahanan itu, polis menemui 2.87 kilogram dadah jenis syabu dan heroin yang dianggarkan bernilai RM62,000.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, turut dirampas ialah dua kenderaan jenis Toyota Avanza dan Honda CRV serta wang tunai dengan nilai rampasan sebanyak RM100,648.

Beliau berkata, selain pelajar yang masih bersekolah di sebuah sekolah menengah di daerah ini, tiga lagi bekerja sendiri.

“Hasil semakan mendapati dua daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.

“Bagaimanapun, ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah,” katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Pahang Tahun 2020 di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Mohd Azam Ab Razak.

Mohd Yusri berkata, suspek bergiat aktif sejak enam bulan lalu dengan menjadikan golongan penagih dadah di daerah Pekan sebagai sasaran.

“Kita tidak menolak kemungkinan bekalan dadah itu diperoleh dari negara jiran dan berdasarkan jumlah dadah dirampas ia mampu dibekalkan kepada 5,756 penagih,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 24 September lalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Mohd Yusri berkata, seramai 312 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkait kes dadah hasil Ops Sarang Khas di seluruh daerah pada 21 hingga 23 September lalu.

Menurutnya, semua suspek berusia antara 23 hingga 63 tahun itu ditahan di lapan sarang penagihan yang digempur di seluruh daerah.

“Daripada jumlah itu, seramai 144 individu termasuk tujuh wanita didapati positif dadah,” katanya.

Beliau berkata, hasil Ops Sarang Khas itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah, daun dan air ketum dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM15,079. – Sinar Harian