KUALA KANGSAR: Pelajar Malaysia di Timur Tengah yang pulang ke tanah air kerana masalah COVID-19 disaran meneruskan pengajian mereka di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria berkata, kerajaan negeri mengambil berat keadaan para pelajar ini, khususnya anak negeri Perak, memandangkan situasi COVID-19 di Timur Tengah yang masih tidak terkawal.

“Pihak universiti di sana tidak memberikan kata putus bila mereka akan buka dan kita tidak tahu berapa lama lagi para pelajar ini terpaksa menunggu untuk pulang semula ke sana untuk menyambung pengajian mereka.

“Jadi, kerajaan negeri merasakan adalah lebih baik, sekiranya mereka menyambung pengajian mereka di sini dalam keadaan yang lebih selamat dan selesa,” katanya kepada media ketika melawat USAS hari ini.

Turut hadir Naib Canselor USAS, Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, Prof Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof dan Timbalan Naib Canselor Pentadbiran dan Kewangan Anas Md Yusof.

Menurut Razman, seramai 504 daripada sejumlah 844 pelajar daripada Perak yang menuntut di Mesir telah kembali ke tanah air sejak April lalu, kerana pandemik COVID-19.

Tambahnya, perkara tersebut telah dibincangkan di dalam mesyuarat Exco baru-baru ini.

Sehubungan dengan itu, pihak USAS telah mengambil inisiatif untuk menawarkan kemudahan bagi para pelajar yang terbabit menyambung pengajian mereka di universiti tersebut.

Dr Nordin berkata, USAS bersedia untuk menerima kesemua para pelajar yang terlibat pada bila-bila masa sekiranya mereka bersetuju untuk menerima tawaran khas ini.  

Menurutnya, universiti itu juga mempunyai kemudahan yang cukup untuk membolehkan mereka mengikuti pengajian atas talian.

“Namun sekiranya pengajian atas talian menjadi masalah, terutama bagi mereka yang tinggal di luar kawasan capaian internet, kita juga mempunyai kemudahan asrama yang mencukupi untuk menampung kesemua pelajar meski sekiranya 800 pelajar tersebut secara en-bloc bersetuju untuk menyambung pengajian mereka di sini.

“Kami akan berusaha untuk memudahkan perjalanan pengajian mereka termasuklah pemindahan kredit pengajian bagi mereka menyambung pengajian dalam kursus yang sedia ada di universiti ini.

“Malah, sekiranya mereka ingin bertukar ke bidang yang lain sekalipun, kita akan berusaha untuk memudahkannya supaya mereka dapat menamatkan pengajian mereka mengikut jadual,” ujarnya.

Beliau berharap agar Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak (MAIPk) serta Yayasan Perak dapat meneruskan dermasiswa kepada pelajar terlibat, sekiranya mereka bersetuju untuk menyambung pengajian di USAS.