SERI ISKANDAR: Seramai 44 pelajar dari jurusan Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini, berjaya mencatat Malaysia Book of Records (MBOR) bagi pengunaan 30050 “stick bombs” dengan panjang 703.2 meter.

Bagi mencatat rekod tersebut, para pelajar perlu menggunakan sekurang-kurangnya 20,000 batang kayu dengan 500 meter panjang, menjadikan ia sebagai percubaan kali pertama di Malaysia.

Menurut Pengurus Projek, Nur Shamilah Shadun Zubiar, persediaan untuk mencipta rekod itu bermula sejak Januari lalu.

Menurutnya, antara cabaran utama ialan cuaca yang boleh merencatkan pergerakan “stick bombs”.

“Kami berlatih sekurang-kurangnya 30 kali, setiap kali berlatih akan gunakan kayu yang sama, sebab kami memilih untuk cipta rekod “stick bombs” kerana ia berkaitan dengan terma kejuruteraan mekanikal.

“Kesulitan dan cabaran lain, kayu ini kita tidak boleh letak lama-lama atau simpan dalam lima jam, dan kayu ini sangat sensitif dengan cahaya, ia juga tidak boleh digunakan banyak kali kerana boleh rosak.

“Kami buat ini juga untuk tunjukkan yang fizik itu menyeronokkan,” katanya ketika ditemui pemberita dalam percubaan mencatat rekod MBOR di Foyer Chancellor Complex, UTP, di sini pada Rabu.

Turut hadir wakil The Malaysia Book of Records, Lee Pooi Leng serta kakitangan universiti yang memberi sokongan.

Program itu juga dianjurkan oleh American Society of Mechanical Engineers UTP bersama Prof Madya Dr. Mokhtar Awang.

Tambah Nur Shamilah, “stick bombs” berfungsi menerusi batang kayu ditenun bersama untuk mencipta lenturan, ia digabungkan dalam bentuk X dan tercipta tindakan balas berantai sehingga kayu yang disusun melantun.

Sementara itu salah seorang pelajar yang mengambil bahagian dalam rekod tersebut, Dinesh Roy Brian, berkata kejayaan rekod itu membantu dalam melengkapkan pelajar dengan kemahiran komunikasi dan teknikal.

“Kita akan buat rekod baru tahun depan mungkin 40,000 hingga 50,000 untuk pecah rekod sekarang, atau senior kita yang akan buat.

“Cabaran paling rumit bagi saya ialah bila kita buat rantaian stick bombs ini, ada kayu yang terbom (terpelanting) sendiri, kerjasama kumpulan memang terbaik, walaupun masing-masing ada kuliah dan jadual sendiri, kami berjaya jayakan ia hari ini,” kata Dinesh.