IPOH : Kerajaan Perak telah membentuk kerangka Pelan Pembangunan Negeri 2030 dalam memastikan ekonomi negeri terus maju dan limpahannya dapat diagihkan dengan saksama serta inklusif, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata pelan itu dirangka selari dengan gagasan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang berpaksikan empat teras iaitu menjana pertumbuhan ekonomi seimbang; keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat; meneraju kelestarian sumber dan alam sekitar serta memperkukuh tadbir urus dan memupuk tanggungjawab bersama.

“Pelan itu dirangka untuk mencapai tiga objektif utama iaitu pembangunan untuk semua; menangani jurang kekayaan dan pendapatan; serta negara bersatu, makmur dan bermaruah,” katanya semasa menjawab soalan Yahaya Mat Nor (PH-Amanah) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Faizal, dalam melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri dan memastikan limpahan ekonomi sampai kepada segenap lapisan rakyat, pihak pentadbiran dengan kerjasama dan sokongan kerajaan Persekutuan telah mengenal pasti 10 projek berimpak tinggi dan beberapa program pengupayaan masyarakat.

Katanya antara projek berimpak tinggi itu adalah Perak High Tech Industrial Park; Pulau Bebas Cukai Pangkor; Bandar Automotif Proton Tanjung Malim; Hab Pelancongan dan Pertanian Bagan Datuk serta naik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah.

“Selain daripada itu, kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai inisiatif yang dapat membantu meningkatkan taraf hidup mahupun kesejahteraan rakyat terutama kelompok B40 antaranya melalui kemudahan pembiayaan perniagaan kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).

“Turut diberikan adalah kemudahan pembiayaan pendidikan kepada para pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, penyediaan rumah mampu milik dan pembiayaan untuk perumahan, memudahkan akses perkhidmatan kesihatan serta memastikan kebajikan golongan kurang bernasib baik dan orang kurang upaya (OKU) terbela, ” katanya.  – BERNAMA