IPOH: Kerajaan negeri merangka Pelan Tindakan Strategik Memperkasa Gerakan Koperasi Negeri Perak 2017 – 2020 bagi meningkatkan lagi koperasi ke tahap yang lebih tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, pelan itu antara lain menggariskan enam fokus utama.

Menurutnya, fokus-fokus itu ialah:

1. Pemantapan sistem pengurusan koperasi

2. Pemantapan pengurusan kewangan

3. Membangun kapasiti koperasi

4. Pemantapan sistem pemasaran produk atau perkhidmatan

5. Teknologi dan inovasi

6. Pencapaian kualiti dan pengiktirafan produk

53bd4850-13eb-4e8b-9769-34b56ec1111f06b7251b-cecf-47f8-b7c5-d865f26676e0

“Pelan tindakan strategik ini akan diperkukuhkan dengan rangka kerja pelaksanaan yang jelas dan sistematik bagi memastikan setiap pihak dapat berperanan dengan cekap dan berkesan,” katanya ketika berucap merasmikan pajak gadai Ar-Rahnu Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad (KAKIB) di sini pada Khamis.

Hadir sama Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Perak, Zainun Hamzan Stapa; Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Perak, Mohd. Rosli Basri;

Pengerusi KAKIB, Razmi Hashim dan Pengerusi (SKOMK) Perak Berhad, Kassim Muhammad.

Samsudin berharap, pihak SKM dan ANGKASA akan dapat terus memainkan peranan dalam membantu koperasi-koperasi berdaya saing seperti KAKIB dengan memberikan khidmat nasihat, bantuan modal dan sebagainya.

Menurut beliau, kejayaan sesebuah koperasi bergantung kepada amalan jatidiri koperasi oleh setiap komponen tadbir urus dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Dalam hubungan ini, beliau mengucapkan syabas kepada KAKIB kerana berjaya menduduki tangga ke 36 dalam indeks 100 koperasi terbaik di Malaysia bagi tahun 2016.

Beliau yakin, dengan adanya perancangan aktiviti perniagaan seperti Ar-Rahnu yang menawarkan upah simpan yang rendah dan kadar pembiayaan sehingga 80 peratus nilai emas, koperasi itu mampu untuk terus berjaya.