TANJUNG MALIM: kerajaan negeri kini dalam peringkat akhir menyiapkan pelan pembangunan Wilayah Perak Selatan (WPS) yang bakal menyaksikan kawasan bermula dari Tanjung Malim hingga Bagan Datuk sebagai koridor ekonomi baharu Perak.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata cadangan pembangunan yang dirancang di kawasan terlibat bagi jangka masa pendek dan 30 tahun akan datang itu, akan dikemukakan kepada pihak Unit Perancang Ekonomi (EPU) dalam masa terdekat.

IMG-20170722-WA0027

“Pelan itu akan melibatkan industri Proton di Tanjung Malim atau automotif secara khususnya manakala Bagan Datuk pula akan terdapat kawasan Industri baharu di dalam pelan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis jamuan Aidilfitri bersama warga Proton pada hari terakhir program Permukiman Menteri Besar di daerah Muallim di Kompleks Sukan Proton di Proton City sini pada Sabtu.

Menjelas lebih lanjut, Dr Zambry memberitahu, industri membuat kereta nasional oleh Proton Holdings Sdn Bhd (Proton) akan menjadi teras utama dalam pelan WPS bagi kawasan Tanjung Malim.

Justeru itu, beliau berharap perancangan Proton menjadikan kilang sedia ada di Proton City sebagai kilang automatif induk dapat direalisasikan seperti dirancangkan sebelum ini.

“Sepertimana yang kita ketahui industri permotoran, automotif bukanlah industri yang kecil, ia memerlukan strategik partnership yang baik, kita doakan pendekatan yang dibuat ini akan memberikan hasil yang baik kepada kawasan sekitarnya juga,” katanya.

Sebanyak 130 aktiviti disusun sepanjang program permukiman itu dan selepas ini dua lagi daerah akan menyusul iaitu Batang Padang dan Manjung.