GEORGETOWN: Seorang pelancong lelaki warga Britain cedera di leher akibat dikelar dengan pisau pemotong kertas di hadapan sebuah restoran di Jalan Penang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, mangsa yang berusia 39 tahun dilihat terbaring dalam keadaan berlumuran darah oleh rakannya di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata siasatan awal mendapati mangsa bersama rakannya terbabit dalam pergaduhan dengan beberapa lelaki tempatan di kawasan itu.

Katanya, polis sudah menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun dan merampas senjata yang dipercayai digunakannya ketika mencederakan mangsa.

“Mangsa kini masih belum sedarkan diri dan sedang menjalani pembedahan di hospital.

“Kita akan mengambil keterangan daripada mangsa bagi memudahkan siasatan,” katanya.

Anuar berkata, pihaknya juga sedang memburu beberapa suspek yang masih bebas dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan – berita harian