LANGKAWI, 12 JAN : Ramai pelancong tempatan yang bercuti di pulau peranginan ini didapati mulai memenuhi Terminal Feri Langkawi di sini untuk pulang ke negeri masing-masing pada hari ini.

Mereka mengambil keputusan untuk meninggalkan pulau tersebut berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPKB) serta Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di seluruh negara selama 14 hari bermula esok.

Tinjauan Utusan Malaysia di Terminal Feri Langkawi di sini mendapati pelancong mula berpusu-pusu untuk menaiki feri bagi mengelakkan mereka terkandas di pulau itu kerana penguatkuasaan PKPK, PKPB dan PKPP.

Seorang pelancong dari Kuala Terengganu, Zubir Ngah, 50, berkata, dia bersama isteri dan tiga anaknya tiba di Langkawi pada Isnin lalu dan dijangka pulang Khamis ini.

Bagaimanapun, katanya, dia terpaksa memendek tempoh percutian di Langkawi sehingga hari ini sahaja berikutan pelaksanaan PKPK dan PKPB yang bermula esok.

“Tiga anak saya yang berusia 12 hingga 16 tahun kecewa apabila masih banyak tempat menarik di pulau ini yang tidak sempat dikunjungi apabila terpaksa pulang awal,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam memberitahu, menerusi kawalan pergerakan tersebut semua penduduk di seluruh negara tidak dibenarkan merentas negeri yang berkuat kuasa pada pukul 12.01 tengah malam ini.

Sementara itu, orang lagi pengunjung dari Johor Bahru, Muhammad Firdaus Rosli, 34, berkata, dia dijadualkan pulang selepas selesai urusan kerja di pulau ini esok, namun mengambil keputusan keluar dari pulau ini hari ini.

Menurutnya, dia yang tiba di pulau ini pada Sabtu lalu mengambil keputusan tersebut kerana tidak mahu bersusah payah ke balai polis untuk mendapatkan kebenaran bagi rentas negeri untuk kembali ke Johor.

“Saya membeli tiket feri untuk pulang sejurus selepas pengumuman perintah PKP dan PKPB oleh Perdana Menteri, petang semalam,” katanya.

Sementara itu, seorang pelancong dari Ipoh, Perak, Norzimah Mohamed, 36, berkata, dia bersama keluarga bernasib baik kerana perancangan asalnya pulang pada hari ini.

“Saya memang dah tempah dan rancang percutian ini sejak dua minggu lalu, dan telah membeli tiket dan menempah bilik secara dalam talian.

“Bagaimanapun diharapkan jadual perjalanan feri berjalan lancar dan jalan tidak sesak kerana bimbang tidak sempat sampai ke Ipoh sebelum pukul 12 tengah malam,” katanya. -UTUSAN ONLINE