IPOH: Pelantikan Datuk Hajiji Mohd Noor sebagai Ketua Menteri Sabah adalah dinamika baharu politik negara yang menjadi tanda aras kepada kematangan ahli-ahli politik Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam memastikan sahsiah politik terus dijunjung sebagai wadah perjuangan untuk menyatukan rakyat dan membina negara, bukannya alat untuk memecahbelahkan.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pelantikan itu dan pembentukan kerajaan negeri GRS Sabah juga adalah kemenangan buat rakyat Sabah yang telah membuat keputusan melalui proses demokrasi yang berlangsung dengan penuh tertib dan telus mengikut ruang lingkup undang-undang pilihan raya.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Hajiji, Ahmad Faizal berkata, Bersatu merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan kepimpinan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang membuktikan kecintaan mereka terhadap masa depan rakyat mengatasi kepentingan peribadi apabila berlapang dada bagi mencapai kesepakatan mencalonkan Hajiji sebagai Ketua Menteri ke-16.

Beliau turut mengucapkan terima kasih juga kepada kepimpinan Warisan Plus kerana menghormati keputusan rakyat memilih kerajaan negeri melalui proses pilihan raya dan memastikan proses peralihan kuasa berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

“Pilihan Raya Negeri Sabah telah berakhir. Ini adalah masanya untuk membentuk sebuah pentadbiran kerajaan negeri yang kukuh untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik dan menunaikan semua aku janji GRS bagi membalas kepercayaaan para pengundi dan rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Faizal yakin kesepatakatan yang telah dibuktikan oleh ADUN dan kepimpinan parti- parti dalam GRS adalah satu permulaan baharu kepada sebuah kerjasama politik yang benar-benar memberi perhatian kepada kebajikan rakyat dan pembangunan negeri, khususnya dalam keadaan negara masih berperang melawan penularan pandemik COVID-19.

“Dengan komitmen jitu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Haji Yassin dan kepimpinan kerajaan Persekutuan untuk memberi sokongan kepada kerajaan negeri Sabah di bawah kepimpinan Hajiji serta rakan-rakan seperjuangan dalam GRS, kita yakin rakyat negeri itu akan mendapat pembelaan dan menikmati kesinambungan pembangunan yang selayaknya di bawah semangat ‘federalisme’,” ujarnya