IPOH, 18 DIS: Pelantikan tiga orang ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) adalah selaras dengan ketetapan oleh pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) agar pelantikan ini meliputi tiga komposisi parti komponen.

Menter Besar Datuk Saarani Mohamad berkata Setiap JPKK Negeri Perak dipengerusikan oleh Penghulu yang bertanggungjawab melaksanakan tugas-tugas selaku ketua organisasi di kampung berkenaan.

“Yang Berhormat Selinsing memohon Kerajaan Negeri melihat semula keperluan pelantikan tiga orang ahli (JPKK) dalam sesebuah kampung yang menyulitkan pentadbiran kampung.

“Hala tuju masa hadapan organisasi JPKK ini akan diperkemas, selaras dengan ketetapan lanjut dan persetujuan di peringkat kerajaan negeri kelak,” katanya ketika sesi penggulungan Belanjawan Negeri Perak 2021 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Ujarnya lagi, kerajaan negeri akan terus berusaha mencari formula terbaik untuk mengatasi perkara ini.

Saarani berkata antaranya melalui penganjuran bengkel melibatkan pihak yang berkaitan.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mohamad Noor Dawoo (BN-Selinsing) ketika bangun mengajukan soalan tambahan berkata isu elaun kepada JPKK juga perlu diambil perhatian.

“Saya berpendapat kajian semula yang hendak dilakukan oleh YAB itu memang tepat pada masanya, namun satu lagi isu ialah saya lihat elaun yang diberikan kepada mereka ini sangat sedikit.

“Saya rasa perlu kita tambah untuk mereka lebih efisien dalam menjalankan tugas bagi melicinkan pentadbiran di peringkat mukim, daerah dan negeri,” katanya.