ALOR GAJAH: Pelatih Kolej Vokasional Ranaco, Terengganu yang hilang selepas dipercayai terjatuh ke laut ketika mahu berpindah kapal di Kuala Linggi malam kelmarin ditemui lemas hari ini.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka/Negeri Sembilan, Komander Maritim Azman Samsudin berkata, mayat Muhammad Afizuddin Aidzuhan, 20, ditemui terapung oleh nelayan yang membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) 3.9 batu nautika barat laut dari tempat kejadian.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Pelabuhan Perikanan Kuala Linggi sebelum dinaikkan ke darat jam 1.09 tengah hari untuk pengecaman ahli keluarga yang berada di lokasi SAR sejak 10.30 malam tadi.

“Mayat yang disahkan ahli keluarga itu ditemui dalam keadaan terapung dan lengkap berpakaian sama kali terakhir dilihat.

“Mayat diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat,” katanya ketika ditemui di Pelabuhan Perikanan Kuala Linggi di sini.

Bapa pelajar itu, Aidzuhan Abdul Malek, 50, yang masih lemah kerana baru saja menjalani prosedur angioplasti berkata mereka sekeluarga menerima takdir itu dengan reda.

“Kami reda dengan pemergian Muhammad Afizuddin dan Alhamdulillah jenazahnya dijumpai hari ini.

“Kami ucapkan ribuan terima kasih kepada pasukan SAR yang bertungkus-lumus mencari arwah sejak petang semalam,” katanya.

Aidzuhan dan isteri, Salmah Sulai, 47, tiba di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Kuala Linggi, tengah hari ini dari kediaman mereka di Damansara, Selangor.

Beliau meminta isteri, Salmah Sulai, 47, dan tujuh anaknya supaya bersabar serta reda dengan pemergian arwah.

Ketika kejadian, Muhammad Afizuddin, sedang menjalani latihan industri di atas kapal tunda Tag Nur 3 yang ditugaskan menjaga kapal Bunga Mas 6 milik MISC yang digunakan untuk pengajian di Akademi Laut Malaysia (ALAM) Kuala Linggi.

Mangsa dipercayai terjatuh ke laut ketika melangkah dari Bunga Mas 6 ke bot tunda itu yang ditambat rapat dengan kapal berkenaan.

 

-BERITAHARIAN