IPOH: Bagi kebanyakan orang, penularan wabak Covid-19 dilihat seolah-olah menutup pintu rezeki dan meruntuhkan perniagaan, namun sebaliknya pula yang berlaku kepada seorang pereka fesyen di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini.

Bagi pemilik butik kelahiran Tambun, Kamal Johari, 40, penularan wabak Covid-19 yang mewujudkan norma baharu pemakaian pelitup muka, telah membuka peluang kepadanya untuk memperkenalkan jenama “KJ” iaitu pelitup muka berfesyen yang boleh disulam parap nama si pembeli.

Bercakap kepada Suara Perak dalam satu temubual di butiknya, Kamal Johari Creation, usahawan yang telah menceburi bidang fesyen sejak 14 tahun lalu itu berkata, sebagai seorang peniaga, beliau tidak terkecuali terkesan dengan penularan pandemik Covid-19 yang melanda dunia sekarang.

“Pada saya, wabak ini sememangnya menyekat haluan rezeki sedia ada, ramai pelanggan yang tidak dapat hadir ke butik untuk padanan pakaian yang ditempah kerana sekatan pergerakan rentas daerah atau negeri.

“Bagaimanapun, sebagai peniaga, kita tidak boleh duduk menunggu sahaja; kita perlu melakukan pusingan dalam perusahaan kita, maka terciptalah idea untuk mengeluarkan produk yang sesuai dengan norma baharu ini iaitu pelitup muka KJ,” katanya di sini, hari ini.

Kamal Johari berkata, idea asal untuk menghasilkan pelitup muka itu dibangkitkan oleh kakaknya namun beliau sendiri yang melakukan pelbagai tahap kajian dan penambahbaikan (R&D) untuk memastikan keselesaan dan keutuhan pelitup muka keluarannya itu.

Anak kelima daripada sembilan adik-beradik itu berkata, pelitup muka itu disesuaikan dengan keperluan kumpulan sasar pasarannya iaitu kaum wanita yang gemar berfesyen tetapi prihatin dengan kualiti dan harganya.

“Terdapat beberapa siri pelitup muka yang kami hasilkan iaitu siri petak (tartan) yang sesuai untuk lelaki dan wanita (uniseks) dengan lima pilihan warna; siri renda yang menggunakan renda Perancis khusus untuk kaum wanita yang menggemari warna yang lembut dan halus; harganya pula tidak mahal.

“Terkini, Kamal Johari Creation akan memperkenalkan siri baharu yang berkisar kepada dunia fauna (animal series) yang lasak dan segar. Siri ini sedang dalam pembangunan dan akan dilancarkan menerusi laman media sosial @kamaljohari di Facebook dan @kamaljohary di Instagram,” ujarnya.

Terkenal dengan rekaan adibusana (haute couture) yang kemas ditaburi manik dan sulaman eksklusif, Kamal Johari diburu oleh peminat seni jahitan dalam kalangan bangsawan dan hartawan khususnya di Kuala Lumpur dan Ipoh, Perak malah ada peminat busananya dari luar negara seperti United Kingdom.

Amat peka dengan ketahanan fabrik dan rekaan lestari, beliau yang pernah menjadi pensyarah fesyen di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak (Seri Iskandar) tegas menyatakan bahawa fesyen rekaannya boleh bertahan lama, baik dari segi rekaan mahupun corak, bahan dan seninya.

“Saya mahu pelanggan saya berpuashati memakai rekaan pakaian yang saya hasilkan dan mereka boleh memakainya untuk pelbagai acara dan majlis, misalnya, kalau menempah baju pengantin daripada saya, pakaian itu kelak boleh disesuai padan untuk majlis makan malam atau acara rasmi lain,” katanya.

Sebagai persediaan menempuh cabaran era pandemik Covid-19 yang menuntut perubahan drastik dalam perniagaan, Kamal Johari berpandangan, semua pihak harus bersedia untuk memperluaskan penggunaan pemasaran digital dan e-dagang dalam perniagaan masing-masing.

Beliau sendiri kini telahpun melantik pembantu khas yang ditugaskan untuk menarik pelanggan melalui Facebook dan Instagram, malah merancang untuk memperkemaskan lagi strategi digitalnya bagi memastikan perkembangan perniagaannya dapat dimantapkan.

Beliau tidak menolak kemungkinan mempelbagaikan bidang perniagaan termasuk menumpukan kepada minatnya terhadap tumbuh-tumbuhan dan pokok hiasan yang dilihatnya mempunyai kaitan rapat dengan perniagaan fesyennya.

“Saya mengkaji tumbuh-tumbuhan ini dari segi pertumbuhan akar, tumbesaran pokok dan bunga-bunga kerana dari situ, saya mendapat inspirasi untuk mereka sulaman yang unik dan menarik.

“Mungkin atas minat ini, saya akan memberi tumpuan yang lebih kepada menubuhkan nurseri tanaman untuk dijual pula sebagai satu lagi cabang perniagaan Kamal Johari,” katanya.

Siapa sangka, anak muda lulusan Seni Seramik dari UiTM Seri Manjung ini dapat mengharungi cabaran hampir dua dekad dalam bidang fesyen, tanpa liputan media arus perdana atau pemasaran viral tetapi kekal bertahan meskipun terkesan akibat wabak Covid-19.