IPOH – Tidak boleh membaca al-Quran bukan halangan kepada seorang mualaf mendalami kitab suci berkenaan selepas setahun memeluk Islam.

Pesara guru, Hafsah Chung Nooi Chew Abdullah memilih untuk khatam al-Quran ketika Ramadan dengan membaca terjemahan 30 juzuk sambil mempelajari bacaan dalam bahasa Arab.

Hafsah yang berusia 59 tahun berkata, selepas habis membaca semua terjemahan al-Quran dia menitiskan air mata dan bersyukur kepada ALLAH SWT kerana mengurniakan hidayah buatnya memeluk Islam.

“Saya memeluk Islam selepas membaca terjemahan al-Quran untuk dibandingkan dengan kitab Bible ketika saya masih beragama Kristian ketika itu dan akhirnya ALLAH SWT memberikan saya hidayah.

“Kemudiannya saya mempelajari bacaan al-Quran dalam bahasa Arab dengan dibantu rakan sekerja saya sedikit demi sedikit sebelum mengucapkan kalimah Syahadah pada Mei 2007,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas Malaysia #QuranHour di Masjid Muhammadiah (Masjid Cina), Taman Tasek Jaya, Ipoh, semalam.

Hafsah yang juga Pengerusi Hal Ehwal Wanita, Masjid Muhammadiah berkata, apabila mendengar mengenai program #QuranHour, pihaknya tidak melepaskan peluang untuk menganjurkannya bagi memberi peluang kepada muslimat sekitar masjid bersama membaca al-Quran selama satu jam.

“Sebenarnya sebelum ini kami sudah bersama-sama mengikuti World #QuranHour baru-baru ini cuma ia tidaklah secara besar-besaran dan melihat daripada sambutan yang diterima kami bersetuju menyertai Malaysia #QuranHour hari ini secara rasmi.

“Alhamdulillah hampir 50 muslimat menyertai bacaan al-Quran bersama selama satu jam dan ia berjalan lancar seperti yang kami rancang,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi Mualaf Rohani Selvarani Abdullah, 55, berkata, walaupun sudah memeluk Islam hampir 40 tahun dia masih mempelajari al-Quran supaya dapat membacanya dengan lancar.

“Malam tadi (kelmarin) kawan saya telefon dia bagi tahu esok (semalam) ada Malaysia #QuranHour saya terus jawab nak ikut sebab apa sahaja program berkenaan bacaan al-Quran beramai-ramai saya akan pergi untuk belajar.

“Ternyata program yang pertama kali saya sertai ini begitu bermanfaat dan menyebabkan saya berasa sebak masih ada program seperti ini yang menyarankan kita membaca al-Quran selama satu jam secara serentak,” katanya – sinar