GUNUNG SEMANGGOL – Tindakan seorang pemandu bas memeriksa keadaan bas rosak di laluan kecemasan berakhir tragedi setelah maut dirempuh sebuah motosikal dalam kemalangan di Kilometer 196.8 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi, mangsa, Rusmadi Idris,46, yang berasal dari Bedong, Kedah meninggal dunia di lokasi kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, sebelum kejadian berlaku, mangsa bersama seorang lagi pemandu bas kedua difahamkan dalam perjalanan dari Klang ke Hadyai, Thailand.

Menurutnya, pada jam lebih kurang 3.20 pagi, bas yang membawa pelancong ke Thailand difahamkan mengalami kerosakan setibanya di lokasi kejadian.

“Berikutan kerosakan dialami, mangsa bertindak menghentikan kenderaan di lorong kecemasan.

“Mangsa bersama seorang lagi rakan pemandu bas kedua seterusnya keluar dari bas itu sebelum pergi ke bahagian belakang bas bagi membuat pemeriksaan,” katanya sewaktu dihubungi media di sini hari ini.

Sinar