IPOH – Seorang pemandu kontena berdepan detik cemas apabila lori yang dipandunya terbakar selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori treler di Kilometer 388.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat Tanjung Malim, awal pagi tadi.

Kejadian pada kira-kira 5.30 pagi itu berlaku apabila lori kontena yang dipandu Mohd Rafis Mohd Saad, 27, dengan muatan kotak melanggar sebuah treler membawa ubat-ubatan dari arah belakang sebelum terbabas dan terbakar.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, ketika kejadian, treler berkenaan yang dipandu Muhamad Kamal Che Kussin, 25, dalam perjalanan dari arah Pulau Pinang menghala ke Klang, Selangor.

“Bagaimanapun, kedua-dua pemandu berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Slim River berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7.01 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dengan bantuan daripada Balai Bomba Tanjung Malim serta Bidor dikejarkan ke tempat kejadian dan mendapati kira-kira 60 peratus daripada kontena itu telah terbakar.

Katanya operasi tamat sepenuhnya kira-kira 11.43 pagi. – Bernama