KUALA LUMPUR : Seorang pemandu e-hailing maut selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan di sebuah premis di Taman Berjaya, Kajang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang, mangsa berusia 30-an dikatakan ke premis itu untuk bertemu seorang pekerja sebelum berlaku pergaduhan antara mereka.

Ketua Polis Daerah Kajang, Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata mangsa yang cedera disahkan meninggal dunia pada pukul 3.50 petang oleh pegawai perubatan.

“Susulan kejadian itu, polis menahan 6 individu berusia 23 hingga 64 tahun untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian itu untuk menghubungi pegawai penyiasat kes iaitu Siti Sarah Aisyah Saad di talian 016-4064202.