KOTA KINABALU : Seorang pemandu wanita Grab cedera di kepala dan muka selepas diserang seorang penumpang yang merompaknya di Kinarut, dekat sini hari ini.

Wanita berusia 59 tahun itu dikatakan mengambil penumpang lelaki itu di Inanam sekitar tengah hari tadi.

Difahamkan, lelaki itu menempah perjalanan ke Karamunsing, tetapi kemudiannya meminta mangsa menghantarnya ke Kinarut.

Sumber berkata, setibanya di Kinarut, lelaki itu tiba-tiba memukul muka dan belakang kepala mangsa, sebelum melarikan diri dengan Perodua Myvi wanita terbabit.

Menurut sumber, suspek turut mencuri beberapa barang milik mangsa sebelum meninggalkannya di tepi jalan.

Penduduk kampung yang menemui wanita itu dengan hidungnya berdarah, segera menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Umpit ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Mangsa sudah dihantar ke Hospital Papar untuk rawatan lanjut dan usaha mengesan suspek giat dijalankan.

“Kita percaya dalam masa terdekat suspek akan dapat diberkas,” katanya kes disiasat mengikut Seksyen 394/379 Kanun Keseksaan.