GERIK: Seorang bayi lelaki yang masih hidup dan bertali pusat ditemui dalam keadaan kesejukan di kawasan belukar belakang sebuah resort, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Gerik, berkata, bayi lelaki berkenaan ditemui oleh Hafizi Ahmad Tanjizi yang bekerja sebagai pemandu untuk Majlis Agama Islam Perak ketika dia sedang berehat di dalam biliknya di resort berkenaan sekitar jam 11 pagi.

“Pengadu (Hafizi) telah membuka tingkap hotel dan mendengar bunyi tangisan tidak pasti orang atau binatang kemudian pengadu bersama dua kawan telah turun dari bilik ke tempat bunyi tangisan tersebut.

“Setelah membuat pemeriksaan pengadu dapati seorang bayi lelaki yang masih hidup dan bertali pusat dalam keadaan kesejukan berada dicelah-celah pokok di belukar belakang hotel tersebut ,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau menambah, Hafizi kemudiannya telah mengambil bayi tersebut dan membawanya ke Klinik Kem Sri Banding, Gerik, Perak sebelum ke Hospital Gerik untuk tindakan selanjutnya.

Susulan itu polis berjaya menahan seorang wanita warga Thailand berusia 20an bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati wanita terbabit masuk ke negara ini secara sah dan bertemu rakannya yang bekerja sebagai tukang urut.

“Dipercayai ketika berada di resort berkenaan, wanita itu sudah sampai masa untuk melahirkan anak dan kita masih menyiasat motif sebenar wanita itu yang meninggalkan anaknya di belukar,” ujar beliau.

Wanita tersebut kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi.