IPOH: Seorang pegawai polis didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas tuduhan pecah amanah melibatkan barang kes rampasan berupa wang tunai lebih RM190,000, enam tahun lalu.

Inspektor Sahrol Zaman Mohd Adom, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di Stor Barang Kes, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada 11 April 2014 ketika menjadi Inspektor Pegawai Penyiasat, Team C, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ipoh.

Bapa kepada anak kembar berusia 12 tahun itu didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dan dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan dikehendaki melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap satu haribulan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 25 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendawaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Hashim manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Aizat Fakri.

Pada 27 Februari lalu, tertuduh didakwa di mahkamah yang sama atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6,000, juga pada 2014.