TAWAU: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan denda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret Tawau di sini, hari ini, atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk di Jalan Kubota, dekat sini, pada 31 Ogos lalu.

Hukuman itu diputuskan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Amir Shah Amir Hassan, selepas tertuduh Chiang Sien Chai, 54, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana didapati memandu di bawah pengaruh alkohol ketika ditahan dalam Ops Mabuk di Jalan Kubota 12.40 tengah malam, 31 Ogos lalu.

Amir Shah dalam penghakimannya berkata, mahkamah mengambil maklum bahawa Dewan Rakyat telah meluluskan pindaan Seksyen 45A ini dengan menaikkan kadar hukuman.

Beliau berkata, dalam kes ini kepentingan awam seperti dihujahkan oleh pegawai pendakwa tidak dapat disangkal selain mengambil kira kandungan alkohol dalam badan tertuduh adalah lebih sekali ganda had yang dibenarkan oleh undang-undang.

“Faktor umur tertuduh juga diambil kira dan sepatutnya sebagai seorang dewasa dengan usia 54 tahun, OKT (orang kena tuduh) boleh berfikir dengan waras untuk tidak memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol,” tegasnya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan enam bulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela

-BH