Oleh:Nazialita Geynna Maharan

KAMPAR: Perjalanan tiga sekeluarga dari Kuala Lumpur berakhir dengan tragis apabila seorang maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua lori di Kilometer 305.9 Lebuhraya Utara Selatan arah utara pada awal pagi Khamis.

Dalam insiden sekitar 7.50 pagi itu, seorang pemandu berusia 31 tahun gagal mengawal kenderaan apabila breknya dipercayai rosak justeru berlanggar dengan sebuah lori lain dan menyebabkan isterinya, S Rajes,30, mati di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata seorang lagi penumpang hadapan lori berkenaan yang mengalami kecederaan adalah adik mangsa yang juga merupakan kelindan lori tersebut.

“Siasatan awal mendapati, lori yang membawa mangsa sedang dalam perjalanan ke Ipoh dan setibanya di tempat kejadian,lori yang berada di lorong kiri dipercayai telah mengalami masalah brek dan gagal mengelak lori di hadapannya.

“Berikutan impak rempuhan itu, pemandu yang juga suami mangsa serta adik iparnya mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, manakala isterinya, meninggal dunia di tempat kejadian,”katanya kepada pemberita.

Kong Soon berkata, pemandu lori yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan dan bedah siasat telah dijalankan di Hospital Kampar.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya lagi.